Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah  lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat,  berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan  tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Cinta tidak datang  dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita  mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita  bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan  didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari  langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi  lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat,  membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama,  mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama  yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan  memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan,  kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti  manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan  kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua  jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita,  wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana  apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk  sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian  masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika  kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana  tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan  walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi  lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya,  semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang  buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga  daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh  berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan  lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika  anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa,  maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita,  kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki,  kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan  keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang  lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang  lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih  sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha  Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk  kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak  juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana  ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat  kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat  lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat  pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat  kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia,  disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi  kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus  saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita  pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu  menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang  dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga  jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah…